HISHAMUDDIN (tengah) menunjukkan pelaburan emas yang ditawar oleh pihak yang menggunakan nama syarikatnya. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
HISHAMUDDIN (tengah) menunjukkan pelaburan emas yang ditawar oleh pihak yang menggunakan nama syarikatnya. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SYARIKAT mengeluar dan menjual emas membuat laporan polis, hari ini, apabila skim cepat kaya pelaburan emas menyalahgunakan namanya untuk memperdaya pelabur.

Wakil syarikat Makmur Gold Holding Sdn Bhd membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi mengelakkan nama mereka terus digunakan oleh skim yang tidak bertanggungjawab itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Hishamuddin Abdullah berkata, skim pelaburan emas itu dipercayai sudah memperdaya ramai mangsa yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Katanya, pihaknya mengetahui nama syarikatnya digunakan oleh skim pelaburan emas yang berpengkalan di Kuantan, Pahang dan mempunyai ramai ejen di Kelantan, minggu lalu.

“Ia hasil daripada lebih 10 pelanggan yang datang ke kedai kami di Kuantan, Pahang dan Tunjong, Kota Bharu yang bertanya sama ada syarikat kami menjalankan pelaburan emas.

“Syarikat menegaskan tidak pernah menjalankan skim pelaburan emas, sebaliknya kami mengeluar dan menjual emas baharu.

“Kami membuat laporan polis kerana tidak mahu skim pelaburan emas itu menyalahgunakan nama kerana boleh merosakkan nama syarikat,” katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.

Menurutnya, ia adalah laporan polis kedua dibuat syarikatnya selepas yang pertama di Kuantan, Selasa lalu.

Katanya, pihaknya tidak mahu skim pelaburan emas itu terus menggunakan nama syarikat dan memaklumkan kepada pelabur bahawa Makmur Gold di Kota Bharu dan Kuantan sebagai pusat operasi mereka.

“Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan skim pelaburan emas bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 9:25 PM