Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Reputasi sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku terjejas ekoran penipuan ala skim cepat kaya yang dilakukan individu tidak dikenali membabitkan wang lebih RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif My Freedom Life (M) Sdn Bhd Saiful Bahri Husman@Othman berkata, penipuan itu dikesan dilakukan lebih sebulan namun pihaknya mengetahui perkara itu tiga hari lalu.

Katanya, ramai yang menghantar viral penipuan itu kepadanya dan kakitangan syarikat selain menerima ugutan ekoran tidak membayar keuntungan dijanjikan.

“Saya menafikan viral itu kerana kami tidak pernah menganjurkan skim cepat kaya dan percaya ada individu cuba sabotaj saya serta syarikat.

“Untuk itu, saya juga sudah membuat laporan polis berhubung penipuan Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dakwanya dua pelaburan yang dianjurkan pihak itu iaitu sewa beli rumah dan kereta dengan modal serendah RM3,000 hingga RM15,500 yang menjanjikan keuntungan masing-masing RM500 dan RM3,000 sebulan.

Menurutnya, ekoran tidak mendapat keuntungan, beberapa individu menghantar mesej WhatsApp yang mengugutnya dan mendakwa tertipu dengan skim berkenaan.

“Ada yang mendakwa membuat bayaran RM10,000 dan menuntut keuntungan daripada syarikat walaupun kami langsung tidak mengetahui wujudnya skim terbabit. Saya menerangkan kepada mangsa bahawa kami tidak pernah mengutip deposit wang daripada mereka.

“Syarikat kami hanya mengeluarkan produk sejuk beku untuk pasaran dalam negara dan China saja. Oleh itu, saya memberi amaran kepada individu tidak bertanggungjawab itu supaya tidak terus menipu mangsa.

“Saya harap selepas ini mangsa tidak lagi terpedaya untuk membuat pelaburan menggunakan nama saya dan syarikat,” katanya.

Menurutnya, dia mengesyaki individu itu sudah mengutip wang daripada puluhan mangsa di sekitar Kelantan dan beberapa negeri.

Katanya, penipuan itu menyebabkan reputasinya dan syarikat terjejas apabila mula dipandang serong.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:27 AM
Saiful (tengah) bersama  pekerjanya  menunjukkan laporan polis dan  laman sosial  berhubung skim cepat kaya yang menggunakan nama  syarikatnya  di Kota Bharu, semalam.
Saiful (tengah) bersama pekerjanya menunjukkan laporan polis dan laman sosial berhubung skim cepat kaya yang menggunakan nama syarikatnya di Kota Bharu, semalam.