MOHAMAD memakaikan pangkat kepada Aminuddin. FOTO ihsan FB Mohamad Sabu
MOHAMAD memakaikan pangkat kepada Aminuddin. FOTO ihsan FB Mohamad Sabu
Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Pertahanan menyangkal dakwaan bahawa Menterinya, Mohamad Sabu memungkiri janji dengan memberikan pangkat kehormat kepada ahli politik.

Kementerian kenyataan hari ini memaklumkan pangkat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) diberikan atas kapasiti jawatan disandang yang melayakkan mereka diberi pangkat kehormat dan bukannya latar belakang parti politik.

“Ini kerana pangkat kehormat ini turut diberikan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada parti pembangkang.

“Justeru itu, dakwaan mengatakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memungkiri janjinya dengan memberikan pangkat kehormat kepada ahli politik adalah tidak tepat,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan pihaknya merujuk kenyataan dikeluarkan Markas Tentera Darat pada 17 Julai tahun lalu.

“Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa JAKPAW adalah satu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pasukan sukarela iaitu Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP) dengan penaungnya adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Mereka dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat),” katanya.

Katanya, selain itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

“Pelantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat).

“Semua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu seperti mana termaktub dalam Seksyen 198 Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya.

Kenyataan itu juga menerangkan perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.

“JAKPAW berperanan memberikan sokongan serta kerjasama menggalakkan penyertaan orang awam melalui komitmen majikan serta merancang semua jenis bantuan seperti kem gunasama kepada ASP di setiap negeri.

“Piagam Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan ditetapkan menerusi Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) 1/96,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertikaikan pendirian Mohamad berhubung pemberian pangkat tentera kepada ahli politik menerusi status dimuat naik di Facebook, semalam.

Semalam, Mohamad memuat naik status berserta gambar pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah di Wisma Perwira ATM.

Antara yang menerima tauliah kehormat dalam majlis itu adalah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik.

Selain itu, Penasihat Ketenteraan Menteri Pertahanan Norrul Azril Ariffin turut memakai pangkat Brigadier Jeneral.

Menerusi ucapan beliau pada penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu, Mohamad memaklumkan Kementerian Pertahanan tidak akan meneruskan amalan memberi pangkat tentera kepada ahli politik bagi menghalang golongan terbabit menyalahgunakannya untuk masuk ke kem tentera dan membuat kempen politik terutama ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 5:56 PM