LIEW diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
LIEW diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Amir Mamat


NELAYAN didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Liew Sea Hai, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan Liew dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda, manakala anjing miliknya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah untuk tindakan susulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan cuai menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Purba Evita Kristina, 23, di hadapan rumah Nombor 5, Jalan Marikh 8, Taman Tanjung Minyak Perdana pada 9.30 malam, 27 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Surendran Chelvarajah memohon mahkamah mengurangkan hukuman buat anak guamnya kerana sudah menyesal dan anjingnya sudah dirantai.

"Tetapi kecuaiannya pada hari kejadian adalah membiarkan pagar rumah itu terbuka dan rantai besi yang mengikat anjing terputus, menyebabkan ia lari keluar," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman memohon hukuman berat kerana kes itu sudah tular dan perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat lain.

Media sebelum itu melaporkan, seorang wanita cedera pada 29 Julai lalu selepas diserang dan digigit anjing peliharaan ketika berjalan di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Minyak.

Video mengenainya tular yang menunjukkan seekor anjing keluar dari sebuah rumah dan menyerang mangsa sebelum diselamatkan oleh penghuni rumah berhampiran.

Ketika kejadian, mangsa dilihat menggunakan tangannya untuk mempertahankan diri daripada anjing itu yang cuba menggigit lehernya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:12 PM