PENGARAH HTAR, Datin Dr Hasni Hanapi (tiga dari kiri) meraikan bayi dan ibu pada Majlis Sambutan Bayi Tahun Baharu 2020 di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR, Klang, hari ini. FOTO Bernama
PENGARAH HTAR, Datin Dr Hasni Hanapi (tiga dari kiri) meraikan bayi dan ibu pada Majlis Sambutan Bayi Tahun Baharu 2020 di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR, Klang, hari ini. FOTO Bernama
Siraj Mohd Zaini


LIMA puluh lima bayi selamat dilahirkan di semua hospital di Selangor pada awal Tahun Baharu 2020.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sehingga 10 pagi hari ini, 33 bayi lelaki dan 22 perempuan selamat dilahirkan.

Beliau berkata, ia membabitkan 45 bayi berbangsa Melayu manakala selebihnya Cina dan India.

“Seramai 42 bayi lahir secara normal manakala 13 lagi lahir menerusi pembedahan,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Juliana Juri, 34, bersyukur apabila selamat melahirkan cahaya mata keempatnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pagi hari ini.

Katanya, anaknya itu dijangka lahir pada 25 Disember lalu, namun tiada sebarang tanda untuk melahirkan anak pada tarikh berkenaan.

“Pada mulanya saya agak risau kerana sepatutnya melahirkan anak ini pada Krismas lalu. Namun saya tidak merasakan apa-apa tanda.

“Jadi saya hanya menunggu dan tidak sangka bayi ini mahu keluar pada 2020.

“Walaupun lewat seminggu, saya tetap bersyukur kerana bayi dilahirkan sihat. Ini adalah anak keempat saya," katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Nor Amalina Idris, 27, berkata dia melahirkan anak lebih awal dari jangkaan dan gembira kerana bayi itu lahir pada 1 Januari 2020.

“Tarikh sepatutnya pada 20 Januari depan, namun saya tidak menyangka dan teruja kerana melahirkannya pada 1 Januari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 5:37 PM