SEBAHAGIAN tanaman sayur-sayuran milik Tey Kok Heng di River Estate Jalan Muar yang mati akibat terendam air ketika kejadian banjir di Batu Pahat. FOTO Adnan Ibrahim
SEBAHAGIAN tanaman sayur-sayuran milik Tey Kok Heng di River Estate Jalan Muar yang mati akibat terendam air ketika kejadian banjir di Batu Pahat. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


BANJIR termenung yang berlaku di sekitar daerah Batu Pahat menyebabkan petani mengalami kerugian besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Chew Peck Choo berkata, tinjauannya bersama wakil Jabatan Pertanian serta Pegawai Daerah Batu Pahat petani menanggung kerugian apabila banjir yang melanda kebun mereka lambat surut.

Katanya, tinjauan ke kebun milik Tey Kok Heng, 46, hari ini mendapati anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung adalah kira-kira RM8,000 berikutan sayur-sayuran seperti terung, bendi, kacang panjang tidak sempat dituai dan mati.

Katanya, turut terjejas pelbagai tanaman seluas 1.2 hektar termasuk pokok nangka, cempedak dan pisang kerana terendam dengan air sepanjang tempoh banjir berlaku.

“Berikutan itu, pekebun terjejas menemui pihak kami dan merayu supaya memperoleh ganti rugi sewajarnya bagi membolehkan mereka meneruskan perusahaan yang sudah diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Menurut Chew, pihaknya akan memanjangkan masalah yang dihadapi pekebun terbabit supaya bantuan dapat disalurkan segera.

“Ia bagi menampung perbelanjaan untuk menanam semula sayur-sayuran yang rosak itu.

“Bagaimanapun, jumlah bantuan yang diberikan hanya selepas penilaian dilakukan hasil tinjauan selain kelulusan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:58 PM