NORIZAM  (kiri) dan Noraini  memerhatikan kerja pembinaan tembok penahan ombak di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah.
NORIZAM (kiri) dan Noraini memerhatikan kerja pembinaan tembok penahan ombak di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah.
Oleh Hassan Omar


TIADA yang lebih menggembirakan penduduk Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru dekat sini, apabila kerja membina tembok penahan bagi mengatasi ancaman ombak besar sejak dua minggu lalu.

Sejak empat bulan lalu, penduduk tidak mampu melelapkan mata kerana bimbang kediaman mereka roboh akibat dihempas ombak besar, terutama pada waktu malam.

Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu mereka sudah mampu menarik nafas lega selepas dua jentera pengorek memulakan kerja membina tembok penahan ombak sepanjang 100 meter dan tinggi 3.6 meter.

Seorang penduduk, Norizam Suboh, 54, berkata dia bimbang hakisan pantai sudah terlalu hampir dengan dapur rumahnya, apatah lagi semasa musim hujan sekarang yang menyebabkan hakisan bertambah meluas dan mengancam nyawa keluarganya.

“Kini kerja membina tembok penahan ombak sudah dimulakan dan saya lega pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya, semalam.

Jirannya, Noraini Mohamad, 68, berkata walaupun sebelum ini sudah ada benteng pemecah ombak yang menganjur dari gigi pantai ke laut sepanjang kira-kira 50 meter, ia tidak mampu menghadapi fenomena alam, terutama ribut dan musim tengkujuh.

“Alhamdulillah, rintihan kami didengar kerajaan negeri yang bertindak segera menyediakan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak dan kami yakin berharap selepas ini tidak akan berlaku lagi masalah hakisan akibat ombak besar,” katanya.

Dia berkata, ombak besar dan hakisan pantai pernah mengancam kediaman penduduk di tepi pantai 15 tahun lalu tetapi ia diatasi melalui pembinaan benteng pemecah ombak yang menganjur ke laut.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, projek di kampung berkenaan dilaksanakan hampir serentak dengan projek di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dan Kampung Tengah di Kuala Sungai Baru sebagai antara langkah mengatasi masalah hakisan pantai di Melaka Barat.

Katanya, ia dibuat melalui melalui teknik pembinaan batu lapis lindung atau rock revetment yang setiap satu bernilai lebih RM200,000 melalui peruntukan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 6:01 AM