ERNI Natasha Zulkifli. FOTO Ihsan Keluarga
ERNI Natasha Zulkifli. FOTO Ihsan Keluarga
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG ibu bimbang selepas anak perempuannya hilang apabila disedari tiada di rumahnya di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di Ipoh, sejak 25 November lalu

Zalina Idris, 51, berkata, anaknya, Erni Natasha Zulkifli, 18, dipercayai keluar daripada rumah sehelai sepinggang dengan hanya membawa telefon bimbit selain tidak membawa kad pengenalan.

Menurutnya, semua ahli keluarga bimbangkan keselamatan remaja itu dan usaha mencari di merata-rata tempat sudah dilakukan termasuk di rumah rakannya, namun masih belum ditemui.

“Kami sekeluarga tidak tahu dia pergi mana dan apa punca sebenar dia menghilang kerana sehari sebelum kehilangannya dia seperti biasa serta turut ikut saya ke kenduri kahwin.

“Namun, mungkin dia merajuk apabila sering dimarahi oleh abangnya kerana terlalu asyik bermain telefon bimbit hingga tidak membantu membuat kerja rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zalina berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu sudah tidak belajar lagi selepas tamat persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Katanya, telefon anaknya itu gagal dihubungi dan akaun media sosialnya termasuk Facebook juga sudah lama tidak aktif.

Menurutnya, dia bukan sahaja bimbang keselamatan anaknya, malah teringin bertemu dengan Erni Natasha sebelum berangkat ke Tanah Suci esok bagi menunaikan umrah.

“Saya harap sangat dapat bertemu dengan dia sebelum saya pergi umrah esok dan saya harap dia pulang segera ke pangkuan keluarga. Kami tidak akan memarahinya malah amat merinduinya,” katanya.

Zalina memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu agar menghubunginya di talian 011-51141197 atau nombor anaknya Nur Adira 012-5361503

“Mereka juga menghubungi mana-mana balai polis berhampiran kerana kehilangan anak saya sudah dilaporkan di Balai Polis Simpang Pulai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 3:28 PM