BOT berkenaan. FOTO Arkib NSTP
BOT berkenaan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG nelayan nekad terjun ke dalam laut untuk mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan muara Bagan Panchor, di Manjung, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, bot terbabit ditahan selepas dipercayai beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebaik dihampiri Bot Penggalang 13 APMM, nelayan terbabit dilihat terjun ke laut.

“Dia kemudian berenang ke pantai berhampiran bagi mengelak daripada ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen dan nombor pendaftaran.

“Bot kemudiannya dibawa ke jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Shahrizan berkata, pihaknya merampas 21 bubu naga yang diharamkan penggunaannya di 0.5 batu nautika timur laut Pulau Talang, Pantai Remis, 6.30 petang, semalam.

“Rampasan bubu naga itu bernilai RM1,260 dan setiap unit bernilai RM60 dengan ukuran 6.4 meter panjang,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:10 PM