Baru Bian bergambar bersama tetamu selepas Sambutan HPTN 2019 hari ini. FOTO Aziah Azmee
Baru Bian bergambar bersama tetamu selepas Sambutan HPTN 2019 hari ini. FOTO Aziah Azmee
Idris Musa


TIGA kementerian sedang melakukan rundingan bagi menyelesaikan isu membabitkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan hala tuju tol di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, jemaah menteri sudah memutuskan tiga kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MoF) terus berunding menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita sudah mengadakan satu mesyuarat, minggu lalu.

“Mereka akan berjumpa lagi dan selepas itu sekiranya semua sudah dibincangkan, akan dibentangkan Memorandum Jemaah Menteri, daripada keputusan ketiga-tiga kementerian ini.

“Ia akan dibuat tidak lama lagi. Jika anda tanya bila, kami menyasarkan pertengahan bulan ini, kalau boleh,” katanya mengulas perkembangan berkaitan PLUS dan tol.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 di Pusat Konvensyen TM di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala 49 peratus lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Sementara itu, Baru berkata, beliau bersetuju dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyeru pegawai terbabit pemberian tender tidak keluar minum kopi atau teh tarik bersama pemohon tender.

“Pada saya, penjawat awam yang terbabit dalam proses tender, perkara baik, prinsip dasar, jangan keluar dan minum dengan mereka yang terbabit dalam tender.

“Ia berkaitan persepsi, mereka bercampur, pergi minum dengan pemohon tender, saya fikir ia sangat jelaskan, jadi elakkan semua ini. Bagi KKR, saya sokong kalau ini menjadi satu prinsip,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam dilaporkan berkata, langkah pencegahan amalan rasuah seperti tidak keluar minum bersama pihak berkepentingan adalah penting dalam memastikan proses integriti adalah ‘hidup’ dan bukan sekadar mantra.

Terdahulu Baru berkata, HPTN diadakan bertujuan menghargai jasa profesion teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara.

Katanya, ia menjadi platform bagi mereka menyuarakan pandangan dan idea bernas berkaitan bidang teknikal dan mempromosi profesion teknikal dengan menerapkan elemen bidang teknikal dalam kalangan generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 2:00 PM