Rokok pelbagai jenama dilupuskan di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Miri. FOTO Ihsan JKDM
Rokok pelbagai jenama dilupuskan di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Miri. FOTO Ihsan JKDM
Erika George


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak melupuskan 8.94 juta batang rokok pelbagai jenama di tapak pelupusan sampah milik Majlis Bandaraya Miri semalam.

Pelupusan pada 12 tengah hari itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Kastam Miri.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, semua rokok yang dilupuskan belum lulus Kastam membabitkan cukai RM5.12 juta.

“Rokok itu dirampas dalam serbuan pada 2015 dan mendapat kelulusan Ketua Pengarah Kastam Malaysia untuk dilupuskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“Mereka juga boleh berbuat demikian di laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran di semua negeri.

“Kastam juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 11:16 AM