GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazsyah Abdul Rahman


SELEPAS bertarung nyawa selama tiga hari akibat cedera diserang buaya di Sungai Kinabatangan di Kampung Bilit, seorang nelayan dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Mangsa, Roslin Kalan, 47, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan jam 3.20 pagi dipercayai akibat kecederaan parah di kaki.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 28 November lalu.

Katanya, mengikut laporan, kejadian berlaku pada jam 2.40 petang ketika mangsa ke pangkalan sungai untuk memeriksa pukat dan pancing yang dipasangnya sebelum itu.

“Semasa sedang memeriksa pukat, kaki kanan mangsa tiba-tiba digigit buaya sebelum cuba ditarik oleh reptilia berkenaan ke dalam air.

“Namun, mangsa sempat melawan dan menendang buaya itu beberapa kali sehinggalah buaya itu melepaskan gigitannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Augustine berkata, mangsa yang terselamat terus naik ke tebing sungai sebelum meminta bantuan orang ramai.

Katanya, mangsa ditemui orang awam kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sukau.

“Mangsa sempat ditemubual oleh anggota JHL untuk mendapatkan maklumat lanjut sehari selepas kejadian.

“Namun, kami dimaklumkan mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HDOK, semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 12:06 PM