Nurul Fhatihah Zakinan


PENDUDUK di Jalan Seri Gadong, Pulau Gadong, Melaka gempar dengan penemuan buaya tembaga kira-kira dua meter dengan berat 60 kilogram, dipercayai sesat di longkang kawasan itu hari ini.

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, penduduk, Ngoi Sew Ha, 20-an, terkejut dengan kehadiran reptilia terbabit selepas terdengar bunyi bising dari arah longkang berdekatan kedai makan sebelum melaporkannya kepada pihak berkaitan.

Katanya, dia yang sedang membantu ibu bapanya berniaga di situ terdengar bunyi bising dari longkang berkenaan sebelum dikejutkan dengan haiwan itu.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku buaya tersesat hingga ke longkang tetapi mungkin haiwan itu datang dari Sungai Pulau Gadong.

“Saya segera menghubungi talian kecemasan sebelum pihak berkuasa datang membantu menangkap haiwan itu,” katanya.

Buaya tembaga yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
Buaya tembaga yang berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Tengah menangkap haiwan berkenaan yang dipercayai sesat dari sungai terletak kira-kira 300 meter dari kawasan longkang itu.

“Sebaik menerima laporan, anggota bersama dua pegawai dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan kerja tangkapan.

“Haiwan itu kemudian kita serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:33 PM
Anggota APM berusaha menangkap buaya tembaga yang dipercayai sesat di dalam longkang. FOTO Ihsan APM
Anggota APM berusaha menangkap buaya tembaga yang dipercayai sesat di dalam longkang. FOTO Ihsan APM