Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


HANYA sebilangan kecil saja penggiat industri bagi produk halal termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menggunakan instrumen perbankan dan kewangan Islam manakala yang lain sebaliknya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, justeru tindakan perlu diambil untuk menjadikan kewangan Islam sebahagian daripada ekosistem halal.

Menurutnya, perniagaan bukan saja perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran halal tetapi yang lebih penting mengamalkan cara Islam dari segi pembiayaan.

“Saya mengakui, masih belum ada akses mencukupi kepada kewangan Islam bagi pertumbuhan PKS dalam sektor halal kerana kebanyakan PKS yang patuh syariah berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan Islam yang sesuai.

“Akibatnya, kebanyakan PKS tempatan yang mengeluarkan produk halal berdepan masalah untuk memanfaatkan permintaan dan bekalan dalam pasaran halal di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Inklusi Halal Anjuran Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Bank Pembangunan Islam di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, justeru lebih banyak usaha dan perhatian bersepadu perlu difokuskan terhadap PKS kerana mereka adalah pemacu kerja baharu dan inovasi dalam perniagaan halal.

“Menerusi pembiayaan yang lebih baik, saya percaya lebih ramai penggiat industri akan mendapat dorongan untuk mengembangkan produk dalam industri halal.

“Bagi penggiat industri sedia ada, ia akan memberikan hala tuju lebih jelas untuk membangunkan strategi supaya terus berdaya saing dan memenuhi pelbagai cabaran yang dihadapi disebabkan globalisasi, teknologi dan liberalisasi perdagangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, negara mampu menjadi pusat tumpuan bagi perdagangan produk halal dengan menjadi destinasi utama bagi pameran perdagangan dan perniagaan halal.

“Menggunakan Malaysia sebagai hab berpotensi, pengeluar halal dapat dengan mudah menembusi pasaran halal tradisional seperti Asia Tenggara dan Timur Tengah, serta pasaran berpotensi lain termasuk Afrika Utara, Eropah dan China.

“Adalah tidak mustahil untuk Malaysia memimpin dalam menentukan, menyelaras dan memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal yang boleh didapati di seluruh dunia dengan kepakaran yang diperoleh sejak bertahun lamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:09 PM