Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membuka peluang kepada usahawan tempatan menembusi dan meneroka pasaran Russia menerusi pengenalan barangan dan produk halal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, Malaysia yang dikenali sebagai perintis industri halal antarabangsa mempunyai peluang menjadi rakan dagangan republik berkenaan menerusi landasan produk halal dihasilkan syarikat Malaysia.

“Untuk mewujudkan hubungan terbabit, Matrade mengalu-alukan pembabitan syarikat yang mengeluar serta menghasilkan barangan halal khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sektor halal domestik dianggap maju dan terbahagi kepada dua subsektor iaitu makanan serta bukan makanan di mana segmen bukan makanan merangkumi perubatan, farmasi, logistik, kosmetik, perabot, getah dan kewangan Islam,” katanya selepas sesi taklimat bersama Persekutuan Rusia berkaitan perubahan pantas barangan halal pengguna (FMCG), di sini.

Menurutnya, taklimat itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengusaha dan pengeksport negara terutama PKS mengenai cara menembusi pasaran negara terbabit serta kaedah mempromosikan produk dengan tepat.

“Ia tidak tertumpu kepada sektor makanan, malah kepada sektor perkhidmatan. Bagi segmen makanan, mereka perlu memastikan kualiti produk, memeriksa semula pembungkusan produk agar memenuhi kriteria dan standard ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat di seluruh dunia, bukan sahaja negara Islam, tetapi juga di negara bukan Islam.

“Permintaan bagi produk halal di negara bukan Islam penting dalam pasaran baru seperti Rusia, Brazil, India, China, Perancis dan Belanda kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 6:17 AM