GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Faliq Lajim


KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan menarik balik 10 produk yang mengandungi impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) yang melebihi had dibenarkan.

10 produk itu ialah Zantac Injection 50mg /2ml; Zantac Syrup 150mg /10ml Zantac; Tablet 150mg (tidak dipasarkan di Malaysia); Hyzan Tablet 150mg; Vesyca Film Coated Tablet 150mg; Apo-Ranitidine 300mg dan Tablet Apo-Ranitidine 150mg.

Turut dipanggil balik ialah Tablet Ranitic Tablet 150mg; Pharmaniaga Ranitidine Tablet 150mg dan Pharmaniaga Ranitidine Tablet 300mg.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bahan aktif ranitidine itu adalah ubat yang digunakan untuk merawat pesakit mengalami pedih ulu hati dan ulser perut, dengan cara mengurangkan kadar pengeluaran asid di dalam perut.

Katanya, NDMA adalah salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras yang rendah, antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.

“Berdasarkan Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Walaupun risiko mendapat kanser akibat daripada penggunaan ubat ranitidine dalam jangka pendek adalah sangat rendah, kementerian tetap memandang serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, individu yang sedang mengambil ranitidine diingatkan bahawa manfaat meneruskan rawatan adalah melebihi risiko akibat pengambilan ranitidine berpotensi mengandungi NDMA dalam kuantiti kecil.

Oleh itu, katanya, pengambilannya hendaklah diteruskan dan sekiranya perlu, dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk penukaran kepada ubat lain.

“KKM dengan kerjasama syarikat pemegang pendaftaran produk akan meneruskan penilaian bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk terjamin.

“Tindakan regulatori yang sewajarnya akan diambil ke atas produk tersebut hasil daripada keputusan penilaian yang dijalankan dan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:49 PM