GAMBAR Syukur bersama anak beruknya menjaga kerbau dikongsi Mufti Wilayah Persekutuan.
GAMBAR Syukur bersama anak beruknya menjaga kerbau dikongsi Mufti Wilayah Persekutuan.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: “Selain kerbau, saya kini memiliki Boboi yang sentiasa menghiburkan saya dengan keletah nakalnya,” kata Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis, 14, mengenai gambarnya bersama seekor anak beruk berusia 10 bulan yang dikongsi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri di akaun Instagram (IG) miliknya, kelmarin.

Gambar yang diambil jurugambar, Abdullah Deen Mohd Zain, 44, atau lebih terkenal dengan panggilan Dallah Deen itu mendapat 12,569 tanda suka di akaun IG berkenaan.

Syukur berkata, dia membela Boboi yang diperoleh daripada kenalan keluarganya sejak Jun lalu.

“Boboi sangat manja dengan saya dan selalu mengikut saya menjalankan kerja di kandang kerbau.

“Walaupun Boboi beruk jantan, ia sensitif dan cepat merajuk sekiranya tidak dilayan dengan baik,” katanya di sini, semalam.

Katanya, masanya lebih banyak dihabiskan bermain dengan Boboi termasuk mendedahkan haiwan itu kepada lensa kamera supaya pandai beraksi dan bergaya.

“Kebiasaannya, beruk dilatih memetik kelapa, tetapi Boboi dilatih di hadapan kamera dan tidak susah untuk membiasakan Boboi bergaya di hadapan kamera kerana ia aktif serta nakal.

“Walaupun ada Boboi, keutamaan tetap diberikan kepada kerbau kerana saya dikenali ramai melalui gambar bersama kerbau,” katanya.

Dallah Deen berkata, dia terharu apabila gambar yang dirakamnya mendapat perhatian tokoh agama terkemuka negara.

“Ia satu penghormatan besar apabila Mufti Wilayah Persekutuan sudi berkongsi gambar itu di akaun media sosial miliknya sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak gambar bertemakan suasana di kampung.

“Terbaharu, saya akan mempamerkan 40 hingga 60 keping gambar Syukur sempena Program Nostalgia Anak Kampung di Muzium Negara pada 15 November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 6:00 AM