KENDERAAN terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KENDERAAN terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI warga emas maut, dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 4.0, Jalan Perani-Lok Heng di Kota Tinggi, hari ini.
Kejadian 6.10 pagi itu mengakibatkan mangsa, Ali Sakiman, 72, maut di tempat kejadian, manakala dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan pada 6.58 pagi.

Katanya, kemalangan dipercayai apabila Perodua Viva dipandu mangsa dalam perjalanan dari FELDA Waha menghala ke Kota Tinggi.

“Kenderaan itu bertembung dengan Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun bersama penumpang lelaki berusia 21 tahun.

“Kedua-dua lelaki berkenaan cedera parah dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Shahrulnizam Johari berkata, lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan jam 6.11 pagi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan dan usaha dilakukan bagi mengeluarkan mangsa.

“Seorang lelaki berusia 72 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 12:25 PM