ANTARA mangsa cedera selepas kereta Perodua Viva merempuh gerai menjual air soya di Jalan Jejawi Permatang, Arau, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ANTARA mangsa cedera selepas kereta Perodua Viva merempuh gerai menjual air soya di Jalan Jejawi Permatang, Arau, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA lelaki parah selepas kereta Perodua Viva merempuh gerai air soya di Jalan Jejawi Permatang, Arau, 3.45 petang hari ini.

Mangsa parah adalah peniaga gerai terbabit, Ku Azizan Ku Chik, 54, bersama dua pelanggannya, Mudzali Md Hussin, 64, dan Wirach Promichit Erom, 49, yang berasal dari Arau.

Anak lelaki peniaga terbabit, Ku Mohamad Farhan Ku Azizan, 28, berkata, ketika kejadian bapanya sedang melayan tiga pelanggan di gerai itu sebelum kereta dipandu seorang pekerja kilang berusia 52 tahun itu tiba-tiba merempuh mereka.

“Menurut cerita bapa, pemandu kereta terbabit seolah-olah tidak menekan brek sewaktu merempuh gerainya bersama pelanggan.

“Akibat rempuhan itu, bapa terpelanting ke dalam longkang sehingga patah kaki di paras betis manakala dua pelanggan parah di kepala dan kaki akibat terhantuk pada cermin kereta serta kesan daripada rempuhan berkenaan.

“Sejurus kejadian, pemandu terbabit keluar dari keretanya dan memaklumkan kepalanya pening sewaktu memandu, ditambah pula dia sedang membuat persiapan majlis perkahwinan anaknya pada esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farhan berkata, bapanya bersama dua pelanggan terbabit dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selepas kejadian itu oleh ambulans dan kini sedang dirawat di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Katanya, ini kejadian pertama berlaku selepas bapanya memulakan perniagaan di tapak berkenaan sejak hampir empat tahun lalu.

“Selalunya gerai terbabit dijaga adik lelaki saya, namun minggu ini dia bercuti dan bapa yang menjaga gerai terbabit buat sementara waktu sehingga adik selesai bercuti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati pemandu Perodua Viva dari arah Chuping, Padang Besar ke Simpang Empat melalui jalan terbabit.

“Pemandunya cuai sehingga hilang kawalan melanggar gerai air soya yang berada di tepi jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua mangsa masih dirawat di HTF, Kangar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 8:37 PM