KEADAAN kereta yang dipandu mangsa yang terbabas sebelum melanggar pokok. FOTO IHSAN JBPM Perlis
KEADAAN kereta yang dipandu mangsa yang terbabas sebelum melanggar pokok. FOTO IHSAN JBPM Perlis
Aizat Sharif


Arau: Seorang peniaga maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Kuala Perlis-Changlun, berhampiran Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kemalangan berlaku pada jam 8.15 malam apabila mangsa, Amirul Syawal Arshad, 29, sedang memandu kereta Proton Perdana bersama isterinya, Marlisukarni Ahli, 42, dari arah Kuala Perlis menuju ke Bukit Kayu Hitam.

"Kedua-duanya berasal dari Kampung Langsat, Changlun dalam perjalanan dari Kuala Perlis ke Bukit Kayu Hitam dan tatkala melewati kilang ACM di kawasan berkenaan secara tiba-tiba kereta yang dipandu Amirul hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan.

"Rempuhan berkenaan menyebabkan Amirul tercampak keluar dari keretanya melalui tingkap manakala isterinya masih berada dalam kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Arau kemudian dikerahkan untuk mencari mangsa lelaki yang didapati hilang selepas tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

"Pencarian bersama anggota bomba kemudian menemui mangsa di dalam dalam parit di bahu jalan itu.

"Amirul disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik manakala Marlisukarni yang bekerja sebagai suri rumah mengalami kecederaan dan di bawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan lanjut," katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 1:20 PM