BERNAMA

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) terus komited mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai ‘goodies’ untuk kedua-dua negeri itu menerusi Belanjawan 2020 hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun hadapan.

Beliau berkata, kerajaan bercadang menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula 2020.

Menurutnya, sejak 1969, pemberian khas yang juga sebahagian daripada geran persekutuan itu iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak, belum pernah disemak semula.

“Oleh itu buat pertama kalinya bermula 2020, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang menggandakan kadar itu kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Lim berkata, bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan RM587 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar yang mana RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar yang mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak mendapat barang keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga berpatutan, kerajaan akan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang mana proses rasionalisasi kos setakat ini menghasilkan penjimatan RM1.2 bilion dan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:19 PM