AHMAD Samsuri membentangkan Belanjwawan 2020 Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Rozainah Zakaria
AHMAD Samsuri membentangkan Belanjwawan 2020 Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply


SEBANYAK RM1.832 bilion diperuntukkan bagi Belanjawan 2020 Terengganu berbanding RM2.015 bilion pada 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bajet defisit 10 peratus yang bertemakan ‘Membina Generasi Terengganu Sejahtera’ itu didokong lima teras utama dan diperkukuhkan dengan 25 strategi dan 134 inisiatif.

Katanya, perbelanjaan pengurusan yang lebih tinggi ini antara lain disebabkan komitmen wajib membabitkan dua projek keutamaan daripada pembayaran tertangguh dan empat projek keutamaan daripada pembayaran berjadual.

“Kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.832 bilion untuk perbelanjaan mengurus, sejumlah RM700 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM1.63 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

“Anggaran hasil yang bakal diperoleh pada 2020 adalah sebanyak RM1.666 bilion dengan 85.41 peratus adalah daripada pemberian kerajaan persekutuan.

“Sebanyak RM66.93 juta dijangka akan dikutip melalui hasil cukai, hasil bukan cukai (RM170. 37 juta) dan terimaan bukan hasil (RM1.43 bilion),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 Terengganu di Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, RM86.83 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan sebagaimana termaktub mengikut undang-undang manakala RM1.745 bilion pula diperuntukkan untuk perbelanjaan bekalan.

“Di bawah peruntukan perbelanjaan bekalan, sebanyak RM277.59 juta untuk emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM207.15j uta); aset (RM28.52 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.23 bilion) serta perbelanjaan lain (RM1.16 juta).

“Di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM500 juta adalah caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan; RM215 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), badan-badan berkanun dan pelbagai agensi, RM145 juta kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM370 juta untuk pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan.

“Daripada segi agihan di bawah perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM618.49 juta (88 peratus) diperuntukkan untuk pembangunan sosial merangkumi sektor pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar, sukan dan perumahan.

“Selain itu, sebanyak RM40 juta (enam peratus) pula diperuntukkan untuk pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka manakala RM41.6 juta (enam peratus) lagi untuk ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri kecil sederhana (IKS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 3:05 PM