DR MAHATHIR ketika sidang media Mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR MAHATHIR ketika sidang media Mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hairulazim Mahmud


“TOLONGLAH, UMNO letaklah calon di Tanjung Piai supaya kita boleh menang,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri secara sinis berkata, peluang Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai lebih cerah sekiranya UMNO yang bertanding.

Beliau mengakui ada banyak masalah di kawasan berkenaan, bagaimanapun, kemenangan PH bergantung kepada UMNO sekiranya parti pembangkang itu bertanding.

“Adalah faktor-faktor jika UMNO bertanding kita yakin menang tapi tak boleh sebutlah,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, malam ini.

Beliau mengulas mengenai peluang PH pada PRK berkenaan. PRK bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor itu ditetapkan pada 16 November ini, manakala hari penamaan calon adalah pada 2 November.

Tarikh mengundi awal ialah pada 12 November.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 15 November.

PRK Tanjung Piai adalah yang kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia bakal diadakan berikutan kekosongan kerusi terbabit selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, tahun yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, BERSATU belum menentukan lagi calon yang bakal bertanding pada PRK kali ini.

“Calon kita belum pilih lagi tapi dari BERSATU,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

“Kita minta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng buat beberapa perubahan mengikut kehendak kita. Apa perubahan itu tunggulah, embargo sampai Jumaat,” kata beliau.

Mengenai lantikan politik pula, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan amalan sekarang iaitu melantik mereka yang banyak berkorban untuk parti dan layak dilantik.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 11:10 PM