GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Lela Zulkipli


KANAK-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera pengasuh yang juga suami isteri di sebuah rumah di Jalan Yadi, Klang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.21 tengah hari kelmarin mengenai kejadian berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat semalam mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman disebabkan hentakan objek tumpul selain terdapat 41 kesan kecederaan baru dan lama,” katanya.

Menurutnya, ketika siasatan dijalankan, polis turut melakukan pemeriksaan ke atas tubuh dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 5 dan 8 tahun yang dibawa suspek wanita iaitu ibu kepada kedua-dua kanak-kanak itu.

“Hasil pemeriksaan pada 3.14 petang tadi ke atas dua kanak-kanak itu mendapati terdapat kecederaan fizikal pada tubuh badan dipercayai akibat didera suami isteri berkenaan.

“Kedua-dua kanak-kanak itu adalah anak kandung suspek wanita berusia 30 tahun hasil perkahwinan bersama dua bekas suami sebelum ini.

“Sementara kanak-kanak perempuan yang maut itu diasuh suspek bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga suaminya berusia 36 tahun,” katanya.

Semua mangsa kini berada di HTAR untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan reman akan dipohon di Mahkamah Klang esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:53 AM