Muhaamad Hafis Nawawi


PENUNGGANG motosikal patah tangan selepas merempuh kereta yang tiba-tiba mengubah laluan di Jalan Sungai Besi menghala pusat bandar, semalam.

Dalam kejadian 6.41 petang, mangsa, Tan Wing Chun, 28, yang bekerja sebagai juruteknik menunggang motosikal di lorong kanan tidak sempat mengelak apabila kereta Toyota Camry dipandu jurutera warga Singapura, Myo Paing, 36, mengubah laluan secara tiba-tiba.

Malah video insiden berdurasi 22 saat itu turut tular di media sosial memaparkan mangsa terpelanting selepas merempuh kereta itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan sebelum dirempuh penunggang motosikal yang berada di lorongnya.

“Akibat rempuhan, mangsa hilang kawalan dan terpelanting.

“Penunggang belum membuat laporan polis dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 9:37 PM
VIDEO yang tular mengenai kejadian penunggang motosikal merempuh kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba di Jalan Sungai Besi. FOTO IHSAN PEMBACA
VIDEO yang tular mengenai kejadian penunggang motosikal merempuh kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba di Jalan Sungai Besi. FOTO IHSAN PEMBACA