KEMALANGAN mengakibatkan pemandu wanita maut di Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan. FOTO IHSAN JBPM
KEMALANGAN mengakibatkan pemandu wanita maut di Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan. FOTO IHSAN JBPM
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG wanita maut selepas dihempap kenderaan dipandunya dalam kemalangan di Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian berdekatan Kampung Sentosa Jaya kira-kira 1.40 tengah hari, pemandu, Lisa Muslim, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibu bapanya berusia 40-an parah sementara seorang lagi abangnya berusia 20-an tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, dalam kejadian itu mangsa bersama ibu bapanya tercampak keluar daripada kenderaan.

Menurut sumber, mangsa yang memandu Proton Wira dikatakan dalam perjalanan dari Kinabatangan menuju ke Lahad Datu bersama ahli keluarganya.

Sumber berkata, sebaik tiba di lokasi, pemandu dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan namun membatalkan hasratnya secara mengejut sebelum memasuki semula lorongnya.

“Bagaimanapun, kenderaan dipandunya terbabas ke kiri jalan lalu terhumban ke gaung dan terbalik beberapa kali.

“Akibat kejadian itu, mangsa bersama dua penumpang lain terhumban keluar daripada kenderaan dan mangsa maut akibat dihempap kereta dipandunya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nur Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.06 petang dan seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dinaiki empat individu dan seorang mangsa perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 1:30 PM