Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR menerima empat jahitan di lengan kiri selepas ditetak menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Alur Tembesu, di Dungun, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika lelaki berusia 33 tahun sedang berehat di atas buai di belakang rumah rakannya sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa memaklumkan rakannya tiada di rumah sebelum isteri kepada rakan mangsa yang berada di dalam rumah juga memaklumkan ketiadaan suaminya.

“Suspek kemudian memaklumkan mencari rakan mangsa kerana lelaki terbabit ada berhutang dengannya sebanyak RM20.

“Bagaimanapun, sebelum beredar, suspek menyerang mangsa menggunakan parang menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa senyum kepadanya sebelum dia beredar meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Baharudin berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 2:22 PM