NAZLI (kanan) bersama pegawai JPJ dan polis memeriksa motosikal roda tiga tidak mengikut spesifikasi JPJ ketika operasi di Puchong Perdana, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
NAZLI (kanan) bersama pegawai JPJ dan polis memeriksa motosikal roda tiga tidak mengikut spesifikasi JPJ ketika operasi di Puchong Perdana, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Hidayatul Akmal Ahmad


UBAHSUAI motosikal biasa menjadi motosikal roda tiga untuk dijadikan sumber mencari rezeki barangan terpakai.

Itu taktik dilakukan 96 warga Myanmar yang dikesan sepanjang lima siri Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (PeWa) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sejak 12 September hingga hari ini.

Mereka antara 181 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV), tiada lesen memandu barang-barang (GDL), tiada lesen memandu sah dan sebagainya.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, warga Myanmar terbabit membeli motosikal daripada warga tempatan dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 sebuah.

“Kemudian mereka akan ubah suai menjadikannya motosikal roda tiga seterusnya digunakan untuk mencari barang lusuh atau besi buruk sebagai sumber pendapatan.

“Kami akan memanggil pemilik asal motosikal ini dan mereka akan dikenakan saman dan tindakan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Aktiviti seperti itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita selepas tamat Op PeWa di Stesen Transit Alian Ringan (LRT) Puchong Perdana, Serdang, hari ini.

Turut ditahan warga Pakistan (20), India (25), Bangladesh (15), Indonesia (17), Kemboja (3), Nepal (3) dan Arab Saudi (2).

Beliau berkata, sebanyak 290 kenderaan disita terdiri daripada 92 motosikal, motosikal roda tiga (79), kereta (16), lori sampah (44), teksi (29), bas kilang (24) dan lori bersiaz di bawah lima tan (6).

“Semua ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan teknikal iaitu mengubah suai kenderaan.

“Sebanyak 775 notis dikeluarkan dalam lima siri Ops Pewa dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak majlis perbandaran.

“Operasi ini yang fokus kepada kenderaan sering digunakan warga asing terutama kenderaan perdagangan kerana mereka dikesan memandu tanpa lesen dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 10:38 PM