Keadaan lori ais yang terbabas dan merempuh pokok. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan lori ais yang terbabas dan merempuh pokok. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


PEMANDU lori ais maut selepas lori muatan ais dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Telaga Bata, Chica Menyabung, Kota Bharu hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, Ahmad Mazlan Che Aznan, 23, maut di tempat kejadian akibat parah.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian mangsa baru mengambil bekalan ais di kilang ais di Kampung Chica Menyabung.

Katanya, mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Wakaf Zain di sini.

“Bagaimanapun apabila tiba di lokasi, lori mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri bahu jalan sebelum melanggar pokok.

“Akibat kemalangan itu, lori mangsa terbalik dan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:45 AM