TUJUH lagi sekolah di Selangor diarah tutup, hari ini, berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan tidak sihat serta sangat tidak sihat.
Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 145 sekolah yang diarah tutup di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling Perdana dan Klang.
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU sehingga 10 malam tadi.
Menurutnya, penutupan itu membabitkan 187,928 pelajar dan murid sekolah keseluruhannya.
“Penutupan itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 21 sekolah di Kuala Langat, 36 sekolah di Hulu Langat, 27 sekolah di Klang serta 38 sekolah di Petaling Perdana.
“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu.