Keadaan jerebu di Sri Aman yang mencatatkan IPU melebihi 300. FOTO Ihsan Roszilawati Nor Aziz
Keadaan jerebu di Sri Aman yang mencatatkan IPU melebihi 300. FOTO Ihsan Roszilawati Nor Aziz
Siti A’isyah Sukaimi


AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang membuat pemantauan rapi keadaan jerebu di Sarawak dan negeri lain memaklumkan, darurat bencana jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

Menerusi kenyataan NADMA, darurat pernah dilaksanakan di Kuching pada 19 September 1997 apabila bacaan IPU 650; pada 1 Ogos 2005 apabila IPU 531 di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor serta 23 Jun 2013 di daerah Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500.

“NADMA bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menyelaraskan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

“Setakat ini dijangka OPA akan dibuat di Sarawak pada atau selepas 19 September ini tertakluk kepada keadaan atmosfera, cuaca dan awan,” katanya hari ini.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan Laporan Jabatan Alam Sekitar hari ini 8 pagi tadi, terdapat 29 kawasan menunjukkan kualiti udara tidak sihat dan tiga kawasan menunjukkan bacaan sangat tidak sihat dan satu kawasan bacaan bahaya (hazardous).

“Bacaan IPU bahaya adalah di Sri Aman, Sarawak 359 manakala tiga stesen yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat adalah di Port Dickson (207), Kuching (216) dan Johan Setia Klang (232).

“Sejumlah 531 sekolah ditutup hari ini membabitkan 363,991 pelajar iaitu Selangor (145 sekolah, 187,928 pelajar);

Sarawak (298 sekolah, 128,291 pelajar); Negeri Sembilan (63 sekolah, 22,877 pelajar) dan Putrajaya (25 sekolah, 24,895 pelajar),” katanya.

Mengulas lanjut, rakyat khususnya di negeri dan kawasan yang bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat dinasihatkan sentiasa berada di kawasan tertutup dan mengurangkan aktiviti fizikal dan luar.

“Jika perlu berada di kawasan terbuka, topeng muka hendaklah sentiasa dipakai untuk menjaga kesihatan. Minum air mencukupi.

“Selain itu, tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk khusus bagi kawasan Sri Aman yang IPU melebihi 300.

“Pemandu pula diingatkan memasang lampu kenderaan ketika memandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:11 PM