PEMANDU monorel, Ramli Misda memberi penerangan kepada Ahmad Wazif dalam kokpit.
PEMANDU monorel, Ramli Misda memberi penerangan kepada Ahmad Wazif dalam kokpit.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kegembiraan jelas terpancar di wajah seorang kanak-kanak penghidap leukemia, Ahmad Wazif Mohd Amir, 7, apabila impiannya mengendalikan tren tercapai.

Anak kecil yang pemalu itu tiba-tiba berubah menjadi riang dan teruja sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kokpit tren Monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran Ampang milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Ibunya, Sazrina Ramli, 39, berkata, Ahmad Wazif yang didiagnosis menghidap leukemia sejak November 2017 memang sangat meminati tren malah bercita-cita menjadi jurutera kereta api satu hari nanti.

“Dia menunjukkan minat kepada tren sejak berusia tiga tahun. Apa yang dia tengok, dia akan lukis dan tunjuk kepada kami. Bila dapat peluang sebegini, dia memang gembira.

“Biasanya dia tengok sendiri video dalam YouTube dan ceritakan kepada kami apa yang dia tengok. Macam-macam perkara dia tahu termasuk langkah korek terowong untuk projek Transit Aliran Massa (MRT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program Wazif’s Wish Day anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Make-A-Wish (Malaysia) dengan kerjasama Prasarana di sini, semalam.

MOHD Ariffin mendukung Ahmad Wazif menaiki MRT dan LRT, semalam.
MOHD Ariffin mendukung Ahmad Wazif menaiki MRT dan LRT, semalam.

Turut menyertai program itu bapanya, Mohd Amir Mohd Azir, 37, dan adik-beradiknya Ahmad Wafiq, 9, dan Ahmad Waseem Kaisy, 4, serta sukarelawan terbabit.

Menurut Sazrina, kerana keterujaan kepada tren, Ahmad Wazif menggunakan MRT sebagai pengangkutan utama ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Setiap kali menjalani rawatan susulan di hospital, Ahmad Wazif menaiki MRT. Keadaan itu membuatkannya rasa teruja dan gembira bahkan tidak sekalipun dia menangis walaupun dicucuk jarum,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish (Malaysia), Irene Tan berkata, pihaknya merencana pelbagai program berkaitan tren buat Ahmad Wazif termasuk melawat depoh tren hari ini.

“Hari ini, dia menaiki semua tren - MRT, LRT dan Monorel. Esok, kami membawanya melawat depoh utama tren. Dia nampak sangat gembira. Kami bertemu Mei lalu selepas diperkenalkan seorang doktor. Sebagaimana adik Ahmad Wazif gembira, kami gembira kerana menunaikan impiannya,” kata beliau.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd, Mohd Ariffin Idris berkata, ini adalah kerjasama pertama antara Prasarana dan Make-A-Wish (Malaysia).

“Kami berbangga merealisasikan impian adik Ahmad Wazif. Kami berharap keluarga ini tabah dalam mengharungi dugaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:50 AM