Laporan portal Harian Metro mengenai remaja lembam yang didakwa hidup terbuang.
Laporan portal Harian Metro mengenai remaja lembam yang didakwa hidup terbuang.
Nor Farhani Che Ad


KELUARGA remaja lembam yang hidup bergelandangan di sekitar Sungai Petani masih mengambil berat terhadapnya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda Nor Harina Ayob berkata, nenek remaja terbabit sudah ke pejabat JKM Daerah hari ini.

“Hasil perbincangan mendapati keluarga masih mengambil berat terhadap remaja itu, namun sikap dia yang dikatakan suka merayau menyukarkan pihak keluarga menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

“JKM dalam usaha mengesannya dan penempatan akan ditentukan apabila remaja itu diselamatkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Malaysia Kamaruddin Kassim berkata, remaja itu sukar dirujuk ke JKM kerana sering menghilangkan diri.

“Kali terakhir dia dilihat tidur di surau yang biasanya menjadi tempatnya bermalam pada waktu subuh tadi, namun ketika kami ke surau berkenaan mendapatinya tiada di situ.

“Kami juga sudah berjumpa dengan nenek remaja itu di gerai niaganya, namun wanita itu tidak mengetahui di mana cucunya itu berada,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, menurutnya, neneknya berjanji akan memberi maklumat berkaitan remaja itu di pejabat JKM.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai remaja berusia 17 tahun itu yang ditemui hidup bergelandangan dan tidak terurus di kaki lima sebuah bank.

Berita berkaitan

Nak bantu, tapi...

Remaja lembam hidup terbuang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:55 PM