DR Mahathir  menunjukkan lencana tertera nama Kedah hasil tangan beliau ketika melawat kelas seramik di Sekolah Rendah Ritsumeikan sempena lawatan kerja ke Kyoto, semalam. FOTO BERNAMA
DR Mahathir menunjukkan lencana tertera nama Kedah hasil tangan beliau ketika melawat kelas seramik di Sekolah Rendah Ritsumeikan sempena lawatan kerja ke Kyoto, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

“KERAJAAN akan melihat kemungkinan menggunakan kaedah pembelajaran secara rakaman oleh guru yang terpilih untuk dikongsi dengan sekolah lain,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, cara itu bertujuan antara lain bagi memudah dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

“Kita akan mencuba bagi memudahkan pengajaran kerana guru tidak sama… jadi apa yang kita hendak lakukan ialah menggunakan guru yang bagus, rekodkan cara pengajaran mereka dan gunakan mata pelajaran yang direkodkan itu untuk sekolah lain di mana guru akan membimbing pelajar (mengenai mata pelajaran itu),” katanya ketika lawatan ke Sekolah Rendah Ritsumeikan, Kyoto, semalam.

Beliau berkata, cara itu bukan saja akan membantu mendidik pelajar malah memperbaiki pengetahuan guru yang membimbing itu.

“Pada masa sama guru juga akan belajar dan kualiti pembelajaran boleh diperbaiki menggunakan sistem ini,” kata Dr Mahathir yang mengambil bahagian pada majlis minum teh Jepun secara tradisional semasa lawatan ke sekolah berkenaan.

Perdana Menteri juga meluangkan masa melihat teknologi robotik, maklumat dan komunikasi serta kelas membuat pasu.

Sekolah Rendah Ritsumeikan menjadi sekolah pertama di Jepun menggabungkan pendekatan tradisional dan moden dalam kaedah= pembelajarannya.

Sekolah ini dibuka pada 2006 dan kini mempunyai lebih 700 pelajar, adalah juga sekolah perintis dalam pengenalan teknologi robotik dalam kurikulumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:01 AM