LARISSA. FOTO Ihsan IG Larissa Ping
LARISSA. FOTO Ihsan IG Larissa Ping
Fairul Asmaini Mohd Pilus


“DI LUAR universiti, saya adalah Miss World Malaysia 2018, tetapi di dalam kampus, saya hanyalah pelajar biasa.

“Saya teruja dan sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan sesi pengajian serta kehidupan sebagai pelajar universiti,” kata Larissa Ping Liew, 20.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu adalah antara pelajar baharu yang mendaftar di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, bagi sesi pengambilan baharu 2019/2020 bermula 1 September lalu.

Larissa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan menetap di kolej kediaman.

Dia sebelum ini mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik dunia, Miss World 2018 di China, tahun lalu.

Menurut Larissa, dia memilih untuk kekal ‘low profile’ dan tidak mahu gelaran ratu cantik itu menyebabkan dia mendapat layanan berbeza daripada rakan-rakan lain.

Katanya, dia mahu jalani kehidupan di kampus seperti pelajar lain dan sudah berjanji dengan keluarga untuk mengutamakan pelajaran.

“Namun, jika ada peluang untuk mengembangkan bakat dalam bidang peragaan, saya akan pertimbangkan jika ada waktu terluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan memandangkan saya membiayai sendiri pengajian ini.

“Apapun, pelajaran adalah keutamaan dan saya mahu menjadi seorang peguam yang dapat membantu masyarakat suatu hari nanti.

“Ini kerana gelaran ratu cantik hanyalah sementara tetapi ilmu pendidikan adalah bekalan terbaik untuk masa depan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu UM di Dewan Tuanku Canselor, hari ini.

Sementara itu, seramai 4,200 pelajar baharu pelbagai jurusan mendaftar di UM bagi kemasukan untuk sesi 2019/2020 kali ini.

Ia termasuk 111 pelajar antarabangsa dari China, Indonesia, Bangladesh, India, Singapura dan sebagainya.

Sebanyak 94 program ditawarkan termasuk satu program yang baharu diperkenalkan mulai sesi ini iaitu Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Data).

Sesi kali ini turut membabitkan pengambilan pertama bagi Fakulti Farmasi yang ditubuhkan Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 3:40 PM