NUR Syahira menunjukkan gambar arwah Pok Wie yang meninggal dunia di Madinah, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
NUR Syahira menunjukkan gambar arwah Pok Wie yang meninggal dunia di Madinah, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Muhamaad Razis Ismail


“ALHAMDULILLAH, permintaan abah mahu disolatkan oleh ramai jemaah tercapai,” kata Saiful Azwal Md Nawi, 47, anak kepada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Madinah, semalam.

Md Nawi Yaacob, 67, atau lebih dikenali sebagai Pok Wie Burger Kedai Melor menghembuskan nafas terakhir dalam bilik hotelnya, di sisi rakan pada 12 tengah hari waktu Malaysia (7 pagi waktu tempatan).

Allahyarham yang berlepas ke tanah suci pada 30 Julai lalu bersama isteri, Che Noria Che Hamid, 68, sepatutnya pulang, Khamis ini (5 September).

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, mereka terkejut apabila Che Noria memaklumkan pemergian itu, namun reda apatah lagi, hajat arwah untuk disembahyangkan oleh ramai jemaah apabila meninggal dunia tercapai.

Katanya, arwah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas Zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baqi’.

“Saya difahamkan, ketika kejadian, arwah abah sedang bersiap di dalam biliknya untuk sertai program ziarah, namun tiba-tiba rebah.

“Adik bongsu (Nur Syahira, 26) yang menerima maklumat itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada telefon abah, yang meminta kami hubungi semula pada 1 tengah hari.

“Ibu yang menjawab panggilan itu kemudiannya memaklumkan abah sudah meninggal dunia. Ia sangat mengejutkan kerana sehari sebelum itu, dia ada menelefon dan memaklumkan keadaannya baik sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Kota Bharu, hari ini.

Saiful Azwal berkata, pada 10 Ogos lalu, arwah bapanya ada menghantar wasiat menerusi aplikasi WhatsApp keluarga.

“Arwah abah tak pandai guna WhatsApp dan dia minta rakan sebiliknya taipkan. Antara kandungannya, abah mahu disolatkan oleh ramai jemaah dan meminta kami adik beradik jaga hubungan silaturahim.

“Mulanya, kami tidak fikir apa-apa mengenai wasiat itu tapi selepas dia tiada, barulah kami sedar yang abah seperti tahu dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Nur Syahira berkata, bapanya dikenali penduduk sekitar Melor sebagai individu pertama berniaga burger di kawasan itu sejak 1989, malah peniaga yang jujur kerana hanya menjual burger yang benar-benar berkualiti walaupun untung sedikit.

Malah katanya, arwah abahnya juga sering memberi burger percuma kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan.

“Malam tadi pula, kami dimaklumkan pihak Masjid Melor yang arwah antara peniaga kerap menderma kepada beberapa masjid di sekitar. Kami tidak pernah tahu mengenai hal itu,” katanya yang mengambil alih perniagaan burger bapanya sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 3:13 PM