PESERTA kursus diberikan bimbingan, motivasi serta diterangkan hak perundangan. FOTO Nur Saliawati Salberi
PESERTA kursus diberikan bimbingan, motivasi serta diterangkan hak perundangan. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


“SAYA tahu perbuatan ini amat memalukan terutama kepada terutama keluarga. Saya amat menyesali atas keterlanjuran, walaupun tahu masa tidak dapat diundurkan, saya tetap perlu meneruskan kehidupan," kata peserta Kursus Kesedaran Kesalahan Syariah yang hanya ingin dikenali sebagai, Ros, 21 (bukan nama sebenar).

Menurutnya, tidak mahu terus bergelumang dengan dosa, dia bersama kekasihnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dan membesarkan anak yang bakal dilahirkan pada November depan.

"Mujurlah keluarga dapat menerima kami, kalau tidak mungkin keadaan ini lebih sukar.

"Malah kursus yang dianjurkan ini juga secara tidak langsung memberi pengetahuan dan ilmu buat kami mempersiapkan diri untuk melayari kehidupan rumah tangga," katanya ketika ditemui di Masjid Al Azim, Melaka, hari ini.

Kursus anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu bagi memberi kesedaran kepada individu yang ditahan selepas melakukan kesalahan syariah seperti khalwat, berjudi dan berpakaian tidak sopan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, sejak Januari hingga bulan ini, lebih 450 individu dikesan dan disyaki melakukan kesalahan syariah di negeri ini.

Beliau berkata, mereka yang dikesan berusia antara 15 hingga 70 tahun dan diminta hadir ke kursus kesedaran itu.

"Antara kesalahan syariah dilakukan membabitkan judi, pakaian tidak sopan, persetubuhan haram, hamil tanpa nikah dan khalwat.

"Kita tidak mahu mereka yang ditahan dibiarkan begitu saja dan hanya menunggu untuk dibicarakan di mahkamah tanpa sebarang keinsafan dan mengulangi kesilapan sama," katanya.

Rahimin berkata, kursus itu adalah inisiatif JAIM untuk menyantuni mereka yang terbabit.

"Kursus ini diadakan setiap bulan dan mereka yang ditahan serta disyaki melakukan kesalahan syariah akan diminta untuk hadir untuk diberikan bimbingan, motivasi serta diterangkan hak perundangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:23 PM