MOHD Suhaimi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas di kandang kambing di Kampung Mak Kemas pada sidang media di IPD Marang, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria.
MOHD Suhaimi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas di kandang kambing di Kampung Mak Kemas pada sidang media di IPD Marang, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria.
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM60,000 hasil serbuan di sebuah kandang kambing di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung, Marang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan hasil serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang bermula 9.30 malam.

Beliau berkata, hasil serbuan pihaknya menahan suspek di kandang kambing miliknya dan pemeriksaan menemui dua beg hitam dan satu kotak mengandungi dadah di atas lantai tingkat atas kandang terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 1,100 pil yaba, 23 paket pelbagai saiz berisi syabu, 14 biji pil Erimin 5, alat penimbang, telefon pintar dan wang tunai RM1,300.

“Jumlah keseluruhan hasil rampasan itu dianggarkan RM60,250 dan bahan terbabit dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini.

“Semakan dilakukan terhadap suspek mendapati dia memiliki beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan dipercayai aktif dengan pengedaran dadah sejak Mei tahun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Marang, hari ini.

Suhaimi berkata, suspek kini direman selama seminggu sehingga 21 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui punca bekalan dadah terbabit diperoleh dan mengenalpasti rakan suspek yang turut terbabit dengan pengedaran dadah itu.

“Pihak IPD Marang turut mempergiatkan tangkapan terhadap penagih yang melakukan kegiatan secara berulang.

“IPD Marang adalah yang tertinggi di Terengganu membuat penangkapan terhadap penagih berulang mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan 21 tangkapan sepanjang tahun ini dan semua suspek sudah dijatuh hukum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:27 PM