Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DUA bot pukat kenka bersama empat nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam kerana melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, dua bot itu ditahan pihaknya pada 7.30 pagi di kedudukan 11.8 kilometer (6.4 batu nautika) berhampiran perairan Kuala Kurau dekat Parit Buntar.

Menurutnya, kedua-dua buah bot itu ditahan kerana menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan selain pemilik bot tidak mengusahakan sendiri bot itu seperti yang dinyatakan dalam syarat lesen.

“Kedua-dua bot itu bersama empat nelayan tempatan kemudiannya ditunda ke pangkalan berhampiran.

“Bagaimanapun, nelayan berusia antara 50-an hingga 60-an itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan mereka direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sharenliza berkata, sebanyak 40 kilogram udang campur dan 50 kilogram ikan baja hasil rampasan daripada penahanan dua bot terbabit turut dilelong.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 10:45 AM