DUA bot kenka yang menceroboh kawasan nelayan pantai ditahan APMM Pengkalan Kuala Kurau, Parit Buntar, semalam. FOTO ihsan APMM.
DUA bot kenka yang menceroboh kawasan nelayan pantai ditahan APMM Pengkalan Kuala Kurau, Parit Buntar, semalam. FOTO ihsan APMM.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN berani lima nelayan menggunakan dua bot kenka menangkap ikan di kawasan perairan nelayan pantai di Kuala Kurau, Parit Buntar, menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Pengarah Zon Maritim, Maritim Malaysia Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal, berkata dalam kejadian pada 12.15 tengah hari itu, dua bot berkenaan yang melakukan tundaan pukat pada kedudukan 1.5 batu nautika dari pantai, bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot peronda APMM.

Beliau berkata, bagaimanapun, mereka dipintas bot peronda APMM yang akhirnya menahan dua bot kelas B itu.

“Ketika bot APMM melakukan rondaan, kami mengesan sepasang bot kenka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan menyebabkan anggota bertindak pantas menahan bot itu.

“Bot bersama dua tekong dan tiga awak-awak warga tempatan berusia antara 30 hingga 70 tahun itu ditahan dan dibawa ke jeti pengkalan untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak 120 kilogram ikan baja dan ikan campur turut dirampas dan dilelong,” katanya dalam satu kenyataan di Parit Buntar, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat atas kesalahan melanggar syarat lesen mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 10:35 AM