ANGGOTA SAR mengawal lokasi penemuan mayat Nora Anne yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
ANGGOTA SAR mengawal lokasi penemuan mayat Nora Anne yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar resort dekat Pantai, Seremban, masih diteruskan meskipun polis sudah mengesahkan mayat yang ditemui semalam adalah Nora Anne Quoirin, 15.

Tinjauan di lokasi mendapati suasana sedikit lengang berbanding semalam dan sebelumnya.

Beberapa petugas dari pelbagai agensi dilihat masih berada di lokasi untuk melakukan tugas masing-masing.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof malam tadi dilaporkan berkata, operasi di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi tidak terhenti lagi untuk kami jalankan siasatan lanjut. Kami tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Mayat ditemui jam 1.57 petang kira-kira 2.5 kilometer dari tempat remaja berkenaan menginap bersama keluarganya sebelum dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu.

Misteri kehilangan remaja itu terjawab selepas keluarga membuat pengecaman dan mengesahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne.

Terdahulu, mayat dibawa menggunakan helikopter dari tempatnya ditemui ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:57 PM