Laporan awal portal Harian Metro mengenai kejadian letup mesin ATM.
Laporan awal portal Harian Metro mengenai kejadian letup mesin ATM.
Rosman Shamsudin


POLIS sedang mengesan tiga individu yang disyaki meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan membawa lari wang tunai di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala di Muallim, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua suspek lelaki bertopeng memasuki bank berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya keluar dari bank selepas dipercayai meletupkan sebuah mesin ATM dan melarikan diri bersama wang tunai diambil.

“Maklumat melalui saksi kejadian mendapati dia terdengar bunyi letupan sebelum melihat tiga suspek keluar dari bank berkenaan dan melarikan diri dengan menaiki kereta warna merah.

“Nilai wang tunai dilarikan adalah sebanyak RM270,000 dan hanya satu mesin ATM diletupkan oleh suspek, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Semalam Harian Metro melaporkan tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) termasuk mesin simpanan wang (CDM) di sebuah bank musnah selepas satu daripadanya dipercayai diletupkan oleh sekumpulan perompak.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, perompak berkenaan dipercayai meletupkan mesin berkenaan menggunakan bahan letupan sehingga mengakibatkan pintu cermin hadapan bank pecah.

Turut ditemui di lokasi kejadian adalah kesan tompokan darah dipercayai milik perompak berkenaan akibat terkena kaca pintu cermin bank yang pecah akibat letupan kuat itu.

Berita berkaitan

Tiga mesin ATM diletupkan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 3:54 PM