Zuraida (dua dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan Hi Home Property Conference 2019. FOTO Aswadi Alias
Zuraida (dua dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan Hi Home Property Conference 2019. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

KERAJAAN akan memperkenalkan mekanisme bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Pusat (CCRIS) untuk mendisiplinkan pembayaran kewangan mereka atas pinjaman perumahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, mereka masih merancang cara terbaik bagi membantu peminjam memiliki rumah mereka termasuk kerjasama dengan PTPTN dan bank tempatan.

Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan anak-anak muda memiliki rumah sendiri dan ia membabitkan pembelian semua jenis perumahan dan bukan hanya di bawah kementeriannya.

“Kredibiliti golongan belia terutama di kalangan peminjam PTPTN masih ada ketika mereka memasuki pekerjaan pertama walaupun mereka tidak pernah membayarnya sebelum ini.

“CCRIS hanyalah satu skim maklumat tetapi pihak bank masih bebas untuk meluluskan atau menolak pinjaman perumahan untuk mereka.

“Dalam satu cara, KPKT akan melaksanakan mekanisme itu bersama-sama PTPTN untuk membantu mereka membayar pinjaman pendidikan dan perumahan,” katanya ditemui selepas pelancaran Persidangan Harta ‘Hi Home’ di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartanahbumi dotCom Sdn Bhd, Radzi Tajuddin.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Dasar Perumahan Belia dijangka dilancarkan Oktober ini.

Beliau berkata, skim Sewa Untuk Miliki yang akan dilancarkan September ini adalah inisiatif baik untuk golongan muda berpendapatan kurang RM3,000 dan rumah itu berharga RM300,000.

“Pembeli tidak perlu membayar deposit tetapi boleh menyewa satu unit terlebih dulu dan selepas lima tahun, status kewangan mereka akan dikaji semula sama ada mereka layak membeli rumah itu,” katanya.

Bakal pembeli rumah yang mencari hartanah yang sesuai berdasarkan keupayaan kewangan mereka kini boleh berbuat demikian menerusi portal Hi Home, http://www.hihomes.my untuk mengenal pasti jumlah maksimum yang layak dan pinjaman bank tawaran yang sesuai serta lokasi, jenis dan harga rumah.

Mengenai perkara itu, Radzi berkata, ia juga menyediakan mereka dengan pelbagai opsyen dengan lebih daripada 90 projek dan 11,500 unit bernilai RM4.2 bilion yang lebih separuh daripadanya berharga kurang daripada RM300,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:40 PM