PELBAGAI kemudahan disediakan PTPTN bagi  memudahkan peminjam membuat bayaran.
PELBAGAI kemudahan disediakan PTPTN bagi memudahkan peminjam membuat bayaran.
Oleh Hamizah Badiran

Ada peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak bertanggungjawab kerana ‘lari’ daripada kewajipan mereka membayar semula wang pinjaman itu.

Malah, ada juga di antara mereka yang langsung tidak dapat dikesan walaupun sudah puas PTPTN ‘mencari’. Sebenarnya, tidak sukar bagi penerima biaya untuk melakukan pembayaran semula kerana pelbagai kemudahan sudah disediakan pihak PTPTN bagi tujuan berkenaan.

Selain kemudahan pembayaran semula, PTPTN turut mengambil langkah proaktif untuk meringankan bebanan peminjam dengan mengenal pasti dan melaksanakan pelbagai inisiatif.

Antaranya, kos pentadbiran pinjaman pendidikan PTPTN daripada empat peratus kepada tiga peratus (mulai 2004), kos pentadbiran diturunkan daripada tiga peratus kepada satu peratus mulai Jun 2008 melalui konsep pembiayaan patuh syariah iaitu Ujrah (upah).

Pengecualian bayaran balik bagi pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian kelas pertama atau setaraf juga dilaksanakan.

Tidak cukup dengan itu, pemberian diskaun 20 peratus bagi penyelesaian hutang secara sekali gus dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu melalui Bajet 2013 dan 2015, manakala insentif rebat 10 peratus (Januari hingga Disember 2015) juga diberikan menerusi bajet 2013 untuk bayaran bulanan secara konsisten mengikut jadual bayaran balik.

PTPTN juga menyediakan pelbagai saluran pembayaran balik bukan saja di kaunter PTPTN tetapi juga melalui bank utama, Pos Malaysia, perbankan Internet, bayaran balik menerusi potongan gaji, kaunter di pasar raya besar seperti Tesco, Giant dan Aeon Big (dibuka mengikut waktu operasi pasar raya termasuk hujung minggu) serta pengeluaran Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan syarat tertentu.

Perkhidmatan Eksekutif Pemasaran PTPTN turut disediakan secara percuma untuk membantu peminjam. Sehingga kini, terdapat lebih 500 Eksekutif Pemasaran yang boleh dihubungi pada bila-bila masa dan berjumpa di mana saja mengikut kesesuaian peminjam bagi mendapatkan khidmat nasihat dan membuat rundingan.

Sebanyak 58 cawangan PTPTN di lokasi strategik di seluruh negara dibuka bagi memudahkan peminjam mengadakan rundingan untuk penyelesaian pinjaman, penstrukturan/penjadualan semula pinjaman atau penangguhan bayaran balik.

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga 30 April 2015, PTPTN sudah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada seramai 2.29 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM52 bilion.

Namun, jumlah keseluruhan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang diterima bagi tempoh sama hanya RM6.31 bilion (46.79 peratus) yang membabitkan seramai lebih 1.1 juta peminjam saja.

“Jumlah ini amat sedikit berbanding sasaran kami iaitu RM13.49 bilion. Hakikatnya, PTPTN perlu menyediakan dana berjumlah RM5 bilion setiap tahun bagi tujuan pembiayaan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Selain itu, kita juga perlu menyediakan sejumlah peruntukan bagi membayar balik pembiayaan jangka panjang kepada institusi kewangan kerana sedia maklum, kita cuma menerima geran daripada kerajaan sebanyak RM5.3 bilion di awal penubuhan (2007) saja dan selepas itu kita perlu meminjam dengan institusi kewangan lain bagi mendapatkan wang dana.

“Jika peminjam liat atau tak nak bayar semula wang pinjaman mereka, kasihan kepada pelajar baru yang baru nak masuk universiti sebab mereka mungkin tidak dapat membuat pinjaman. Ini kerana, wang pusingan sudah terjejas dek peminjam terdahulu tidak mahu membayar hutang ,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Chase Perdana, baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga 30 April 2014, seramai lebih 582,000 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan membabitkan bayaran balik berjumlah RM4.6 bilion.

Justeru, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada Oktober 2014, PTPTN menghantar senarai nama seramai 136,792 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik selama tiga tahun iaitu bagi tempoh 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014 ke Bank Negara untuk dirujuk kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

Perjanjian persefahaman di antara PTPTN dan Bank Negara Malaysia ditandatangani pada 15 Jun lalu.

“CCRIS bukan sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak. CCRIS berperanan sebagai rujukan rekod kredit. Penyenaraian peminjam PTPTN di dalam CCRIS juga bertujuan menggalakkan peminjam agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar semula pinjaman.

“Mengetahui CCRIS melaporkan rekod pinjaman peribadi seperti urusan pembelian kereta atau rumah kepada institusi kewangan, peminjam akan lebih bertanggungjawab untuk memastikan komitmen bayaran bulanan mereka dibuat dengan konsisten,” katanya.

Langkah penyelesaian bagi semua peminjam sama ada yang sudah disenaraikan dalam CCRIS atau belum adalah untuk menjadi peminjam yang baik. Mereka hendaklah memastikan pembayaran bulanan teratur mengikut jadual bayaran balik.

Sekiranya ansuran bulanan di luar kemampuan, peminjam boleh ke mana-mana 58 cawangan PTPTN negeri, cawangan atau kiosk untuk berunding. Maklumat lokasi dan waktu beroperasi boleh didapati di portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

Memahami kesulitan dialami PTPTN selain menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang peminjam, Mohd Shazwan Ikram Samsudin, 31, membayar semula pinjamannya secara konsisten melalui perbankan Internet.

“Teknologi sekarang sudah canggih dan PTPTN juga menyediakan kemudahan perbankan Internet jadi mudah untuk peminjam seperti saya melunaskan baki pinjaman tidak kira di mana-mana saja.

“Di samping itu, dengan adanya pelbagai kemudahan lain disediakan oleh PTPTN, tidak ada alasan mengapa penerima biaya itu tidak boleh membayar balik melainkan dia mempunyai sebab kukuh lain yang membataskannya.

“Bagi saya, PTPTN juga tidak membebankan peminjam kerana jumlah bulanan yang perlu dibayar berada dalam kemampuan peminjam itu,” katanya.

Pemegang Ijazah Pengurusan Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu ini membayar RM290 sebulan di bawah konsep Ujrah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:12 AM