Najwan melawat gerai jualan buah-buahan selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang di Shah Alam hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Najwan melawat gerai jualan buah-buahan selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang di Shah Alam hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Norrasyidah Arshad


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik mengesahkan dirinya dipanggil ke Bukit Aman Isnin lalu, berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

Najwan Halimi berkata, beliau memberikan keterangan sejam setengah bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Perkara ini dalam siasatan polis dan keterangan saya sudah diambil.

“Polis minta saya datang untuk membantu siasatan mereka. Saya berikan kerjasama penuh.

“Jika ada keperluan untuk memanggil saya lagi, saya (bersikap) terbuka,” katanya ditemui dalam Program Jualan Terus Dari Ladang anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor hari ini.

Najwan berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan polis yang memintanya hadir memberi keterangan.

Katanya, beliau melihat isu berkenaan lebih kepada mainan politik di media sosial selain ‘makanan’ untuk memecahkan kerjasama PKR.

“Saya serahkan semuanya kepada polis,” katanya.

Isnin lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan sudah memanggil seorang ADUN di Selangor berusia 34 tahun.

Sehingga kini, beberapa individu sudah ditahan serta direman termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Berita berkaitan

Selamat Datang Azmin - GERAKAN

'Itu kerja polislah' - Zuraida

'Itu hak pegawai penyiasat' - KPN [METROTV]

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Isu Video: Haziq, Pengerusi PKR dibebaskan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:47 PM