ANGGOTA PERHILITAN memasang dua perangkap dalam operasi memburu seekor lagi harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun dalam operasi memasuki hari keenam, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA PERHILITAN memasang dua perangkap dalam operasi memburu seekor lagi harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun dalam operasi memasuki hari keenam, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


OPERASI memburu seekor lagi harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, dekat Dungun, yang masuk hari keenam tidak menemui sebarang kesan tapak kaki baharu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pemantauan dan rondaan terus digiatkan bagi mengesan seekor lagi harimau yang didakwa penduduk masih bebas.

“Setakat ini, kami tidak menemui sebarang kesan tapak yang baharu hasil rondaan dan pemantauan dijalankan.

“Operasi ini akan diteruskan dalam tempoh dua minggu membabitkan empat anggota PERHILITAN Terengganu,” katanya.

Dr Abdul Malek berkata, sebanyak tiga perangkap dipasang di lokasi dikenal pasti menjadi tempat harimau itu berkeliaran sebelum ini.

Beliau berkata, selepas dua minggu, pihaknya akan lihat dan berbincang semula sama ada meneruskan operasi atau sebaliknya.

Pada Khamis lalu, penduduk Kampung Besol Lama gempar selepas dua ekor harimau belang yang kelihatan agak jinak dikesan berkeliaran di kampung berkenaan.

Susulan aduan itu, operasi menangkap haiwan itu segera dijalankan sebelum seekor harimau belang berjaya ditangkap pada 3.30 petang keesokan harinya.

Harimau itu kemudian ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:45 PM