Hadzlihady Hassan


PERNAH dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun namun itu bukan penghalang untuk dia menjadi tauke dan merekrut ‘pekerja’ baru.

Itu yang dilakukan lelaki berusia 50-an apabila dia sekali lagi ditahan kerana terbabit dalam sindiket mengedar dan menghasilkan dadah.

Lelaki berkenaan sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan sama pada 2007 sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan dibebaskan, baru-baru ini.

Selepas dibebaskan, lelaki terbabit mencari pekerja baru yang terdiri daripada nelayan, tukang kayu, penarik kereta dan penganggur untuk mengedar dan menghasilkan dadah dengan menjadikan sebuah pangsapuri sebagai makmal memproses bahan terlarang terbabit.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu bersama tujuh ahli sindiket pengedaran dadah terbabit dibongkar oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang melakukan tiga serbuan berasingan di Jelutong, Khamis dan Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, dalam serbuan pertama pada 10 malam Khamis lalu, polis menahan dua lelaki berusia 53 dan 77 tahun dan hasil pemeriksan dalam rumah pihaknya merampas heroin seberat 7.98 kilogram (kg) bernilai RM105, 200.

Menurutnya, polis turut merampas kafein seberat 21.2 kg yang bernilai RM10, 200 dan susulan daripada itu satu lagi serbuan dilakukan di kedai kopi di Jelutong.

V Saravanan (dua kanan) menunjukkan dadah serta alat memproses dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
V Saravanan (dua kanan) menunjukkan dadah serta alat memproses dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Dalam serbuan kedua ini, kita berjaya menahan lima lelaki berusia 36 hingga 51 tahun dan merampas syabu seberat 70.84 gram (g) bernilai RM10, 200.

“Selain itu, kita turut merampas heroin seberat 50 gram yang bernilai RM600,” katanya pada sidang media, hari ini.

Saravanan berkata, polis turut melakukan serbuan ketiga di pangsapuri dan membongkar makmal memproses heroin serta menahan seorang wanita berusia 35 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita merampas pelbagai peralatan memproses dadah seperti cecair dan juga peralatan untuk memasak heroin.

“Siasatan mendapati, sindiket ini sudah empat bulan beroperasi dan kita turut merampas wang tunai serta pelbagai barang berharga yang dipercayai hasil jualan dadah terbabit,” katanya.

Antara barang yang disita adalah wang tunai bernilai RM2, 571, sebentuk cincin emas bernilai RM3, 000, Nissan X-Trail (RM18, 800), Proton X70 (RM95, 500) dan Honda PCX (RM8, 990).

Menurutnya, semua yang ditahan itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:06 PM