GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


POLIS sudah merakam percakapan guru lelaki yang didakwa memukul seorang pelajar tingkatan empat berikutan pertengkaran mengenai kerja rumah di sebuah sekolah di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan pelajar lelaki itu selepas menerima laporan polis pada Rabu lalu.

“Kita sudah panggil kedua-dua yang terbabit untuk merakamkan percakapan dan kini dalam proses memohon laporan perubatan. Segala tindakan pada masa ini adalah untuk melengkapkan siasatan,”

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, punca kejadian dipercayai berkaitan kerja sekolah yang diberikan oleh guru berusia 51 tahun itu kepada pelajar terbabit.

“Pelajar berkenaan juga dikatakan bersikap kasar dengan menutup pintu kelas dalam keadaan yang sangat kuat.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku namun pelajar berkenaan sudah menjalani pemeriksaan dan rawatan hospital selepas insiden itu berlaku,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, guru berkenaan pada mulanya mengarahkan semua pelajar kelasnya menyerahkan kerja rumah dan apabila pelajar itu memaklumkan dia sudah berbuat demikian, guru berkenaan dikatakan tiba-tiba melemparkan buku latihan.

Guru itu juga didakwa mengeluarkan perkataan berbaur perkauman dan memberi amaran akan merotannya dan pelajar terbabit dikatakan membalas sindiran guru itu dengan memanggil gurunya menggunakan perkataan kasar sebelum menendang pintu kelas berkenaan.

Guru itu kemudiannya didakwa mengheret pelajar terbabit ke makmal kimia sekolah dan cuba membaling sebuah kerusi logam ke arah pelajar itu.

Selepas pelajar itu dibawa semula ke makmal, guru itu dikatakan menutup pintu dan mula memukulnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 2:46 PM