ORANG ramai memenuhi kawasan kemalangan membabitkan dua lori dan tujuh kereta di Jambatan Tok Pasai menghala ke Pekan Kuala Kedah di Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ORANG ramai memenuhi kawasan kemalangan membabitkan dua lori dan tujuh kereta di Jambatan Tok Pasai menghala ke Pekan Kuala Kedah di Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Noorazura Abdul Rahman


AKIBAT brek gagal berfungsi, sebuah lori sedang menuruni Jambatan Tok Pasai menghala ke Pekan Kuala Kedah di Alor Setar merempuh sebuah lori lain sebelum berlaku kemalangan membabitkan tujuh kereta, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam kejadian 5 petang itu, lori yang melanggar lori di hadapannya menggelungsur ke depan dan melanggar sebuah kereta Kia Cerato seterusnya melanggar Perodua Viva.

Beliau berkata, akibat impak perlanggaran dua lori terbabit, lori yang dilanggar hilang kawalan lalu berlanggar dengan sebuah Proton Iswara Aeroback dan memasuki laluan bertentangan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pergeseran dengan tiga kereta lagi iaitu Proton Saga, Perodua Myvi dan Proton Wira Aeroback yang berada di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan selain turut melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kemalangan dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 11:43 PM