KEADAAN motosikal dan kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kerteh - Batu Putih dekat Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh hari ini. FOTO Rosli Ilham.
KEADAAN motosikal dan kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kerteh - Batu Putih dekat Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


LELAKI maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Kerteh - Batu Putih, berhampiran Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Zakaria Ahmad, 62, yang bekerja sebagai pemandu lori, maut di tempat kejadian selepas parah di bahagian dalaman badan.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kemasik, melalui Jalan Batu Putih menghala ke Kerteh.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Myvi dipandu Mohd Shafuan Mohamad, 32, dipercayai terbabas ke laluan kanan jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa yang menunggang bersendirian tercampak ke dalam semak berhampiran.

“Mangsa yang parah di bahagian dalaman badan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian, manakala pemandu kereta terbabit tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun penumpang kereta yang juga adik kepada pemandu kereta terbabit, Muhammad Faris Aiman Mohamad, 16, cedera di mulut dan menerima rawatan di Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:58 PM